Sunday, May 3, 2015

Khasiat Buah Tiin dari Sudut Islam & Sains

Segala apa yang telah diciptakan dan dikurniakan oleh Allah mempunyai keistimewaan dan kelebihannya tersendiri yang kadangkala kita sebagai manusia tidak nampak akan hikmahnya.

Ramai di antara kita tidak mengetahui akan keistimewaan yang terdapat pada buah tiin atau nama latinnya Ficus Carica dan kepentingannya untuk kesihatan. Mungkin kerana buah tiin bukan berasal dari negara kita tetapi ia banyak didapati di sekitar negara Timur Tengah dan laut meditranean. Walaupun buah tiin berasal dari Syam, Palestin dan Mesir tetapi ia juga diperkenalkan di Itali lebih kurang 2000 tahun yang lampau dimana ia berkembang dengan cepat melalui Selatan Eropah termasuklah negara Yunani.

Malah, di dalam Al Quran juga terdapat surah khusus yang menyatakan tentang buah tiin iaitu Surah At Tiin di mana Allah telah bersumpah dengan buah tiin dan zaitun, juga dengan Gunung Tursina dan negeri Makkah yang aman (Surah At Tiin ayat 1- 3).

Jika direnung- renungkan, mesti ada hikmah di sebalik mengapa Allah telah berfirman dalam Al Quran. Ini mungkin kerana khasiat dan keistimewaan yang tiada tolok bandingnya berbanding dengan buah- buahan yang lain.

Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jawziyyah, buah tiin memiliki banyak khasiat antaranya dapat mengurangkan penyakit sesak nafas. Membersihkan hati dan limpa, juga menghilangkan kahak yang berkumpul serta memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan dan sebagai satu langkah pencegahan untuk melawan racun di dalam badan.

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, "Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata', "inilah buahnya" (tiin), sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya". (HR Abu Darda; Suyuti).

Seiring dengan hadis tersebut, ia juga dibuktikan dengan penemuan- penemuan sains mengenai banyaknya keistimewaan yang boleh didapati dari sebiji buah tiin yang jarang diketahui dan diterokai. Buah tiin mempunyai khasiat yang berbeza daripada buah-buahan lain dan juga lazat serta mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Selain dari itu, ia juga dikenali sebagai bahan pelancar (laxative), penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing (diuretik).

Prof J. A Vinson dari Universiti Scranton, Amerika Syarikat telah membuat kajian dan membuktikan bahawa buah tiin mengandungi khasiat yang tinggi jika dibandingkan dengan buah- buahan yang lain. Buah tiin tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi ia mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi. Kajian oleh beliau mendapati bagaimana buah tiin mampu meningkat dan mengekalkan kesihatan tubuh badan manusia. Satu saiz hidangan buah tin (100g atau ¼ cawan) mengandungi 20% daripada keperluan zat serat seharian tubuh badan kita. Daripada jumlah tersebut, lebih 28% adalah jenis serat terlarut. Kajian menunjukkan bahawa serat terlarut boleh membantu mengawal gula di dalam darah dan mengurangkan kolestrol dalam darah dengan mengikatnya di dalam saluran pencernaan. Manakala serat tidak larut pula dapat melindungi dan mencegah daripada penyakit kanser usus besar (kolon). Makanan yang kaya dengan serat terlarut mampu mengurangkan berat badan. Oleh itu, buah tiin juga sesuai dalam mengatasi masalah berat badan berlebihan.

Buah tiin boleh dianggap sebagai buah yang seharusnya diambil oleh setiap orang termasuk juga kanak- kanak. Ianya merupakan snek yang terbaik sesuai untuk semua golongan kerana mengandungi serat yang tinggi dan manis secara semulajadi. Jadi, pengambilan buah tiin merupakan satu langkah yang tepat untuk menambahkan pengambilan serat dalam makanan seharian kita kerana terdapat bukti amali yang menunjukkan bahawa mereka yang mengambil serat yang sangat tinggi, didapati jarang menghidapi penyakit kanser dan jantung. Mungkin dalam keadaan dunia moden sekarang dan kesibukan yang dihadapi oleh setiap orang, agak sukar untuk kita mengelakkan daripada mengambil makanan yang berkalori tinggi, berkolestrol tinggi dan berlemak dalam makanan seharian kita. Namun, dengan adanya buah tiin, seharusnya khasiat yang terkandung di dalamnya tidak disia- siakan malah perlu dijadikan sebagai satu makanan alternatif untuk kita meningkatkan kesihatan.

Satu lagi keistimewaan yang terkandung di dalam buah tiin ialah ianya dipercayai mempunyai bahan yang boleh melawan kanser. Di dalam buah tiin mengandungi ‘polyphenols' yang tinggi yang bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan amat penting untuk tubuh badan kita kerana ia berfungsi menentang free radicals dalam badan yang boleh menyebabkan berlakunya kanser.

Di dalam kajian yang telah dijalankan oleh J.A Vinson tersebut mendapati bahawa jumlah kandungan ‘polyphenol' dalam buah tiin adalah paling tinggi berbanding dengan buah- buahan dan sayur- sayuran lain. Di samping itu, buah tiin juga mengandungi sebatian lain yang menjadi bahan anti kanser iaitu ‘benzaldehyde' dan ‘coumarins'. ‘ Benzaldehyde' telah terbukti mampu bertindak sebagai bahan anti tumor manakala ‘ coumarins' adalah untuk merawat kulit dan kanser prostat.

Mungkin sesetengah daripada kita tidak pernah pun mengetahui akan keistimewaan dan kebaikan yang terdapat dalam buah tiin, apatah lagi ianya terhad berada di pasaran tidak seperti buah- buahan lain. Namun, seharusnya ia tidak perlu dijadikan alasan kerana ia juga terdapat juga di pasaran Malaysia dan mampu diperolehi oleh sesiapa sahaja.

Di samping itu, kehadiran serat, kalium dan magnesium di dalam buah tiin dapat mengurangkan serangan angin ahmar dan juga mampu mengawal tekanan darah tinggi. Satu berita yang baik bagi pengidap penyakit darah tinggi kerana memakan buah tiin boleh dijadikan amalan bagi mengurang dan mengawal penyakit tersebut. Manakala bagi penyakit kencing manis, buah tiin juga didapati sesuai untuk golongan tersebut kerana serat yang terdapat dalam buah tiin boleh memperlahankan proses penyerapan glukosa di usus kecil. Gabungan zat yang terkandung dalam buah tiin iaitu serat yang tinggi dan karbohidrat dalam bentuk yang ringkas iaitu glukosa dan fruktosa mampu mengawal aras gula dalam darah seseorang.

Sehubungan dengan itu, Dr Oliver Alabaster, iaitu Pengarah Institut Pencegahan Penyakit di George Washington University Medical Centre menyatakan bahawa jika seseorang mengambil buah tiin sebenarnya telah mengambil makanan yang menjamin kesihatannya dalam jangkamasa panjang.

Maka, tidak hairanlah jika buah tiin diiktiraf oleh pakar- pakar pemakanan pada hari ini sebagai makanan nutraseutikal (functional food) kerana ia bukan sekadar mengandungi zat- zat yang berkhasiat malah lebih daripada itu, ia bermanfaat bagi penjagaan kesihatan dan mampu mencegah serangan penyakit- penyakit tertentu.

Di samping itu, Lembaga Penasihat Buah Tiin di California (California Fig Advisory Board) telah menggelarkan buah tiin sebagai ‘nature's most nearly perfect fruit' iaitu ‘buah yang hampir mencapai tahap kesempurnaan secara semulajadi'.

Oleh yang demikian, tidak akan rugi jika kita memakan buah tiin, kerana manfaatnya kita akan perolehi jua walaupun mungkin dalam jangkamasa lama kerana kesihatan itu bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk selamanya, selagi hayat dikandung badan.

(SUMBER: ikim.gov.my)

2 comments:

  1. Satu pkngsian yang sangat bermanfaat~ tq incik yusof 😊😊😊

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    Terima kasih kerana berkongsi dalam entri ini. Mak Long ada dua pokok tiin atau lebih dikenali di tempat kami dengan nama "fig". Kedua-dua pokok ini sedang mula mengeluarkan buah.

    ReplyDelete